Isnin, 1 Julai 2013

Seulas Senyuman...

Hari yang tenang,
Kicauan burung di pagi hari terasa mendamaikan,
Seulas senyuman,
Sentiasa mengiringi pertemuan,
Terima kasih,
Ku hargai.

Seulas senyuman,
Tanda persahabatan,
Tanda ingatan,
Tanda adanya ikatan,
Biarpun adanya perpisahan.

Walau sudah berjauhan,
Seulas senyuman pasti menjadi kenangan,
Seikhlas ucapan dititipkan,
Menjadi bekalan hari mendatang...

Seulas senyuman,
Penyeri kehidupan...

Selasa, 30 April 2013

SUKA atau LUKA....

Suka itu gembira,
Luka pula membawa derita,
Suka itu manis, senyum dan ketawa,
Luka itu pahit, tangis dan airmata.

Suka...
Aku suka dia,
Manis senyum dan wajah,
Ada pesona.

Luka,
Bukan aku benci dia,
Tapi terhiris perasaan,
Penuh kekecewaan.

Suka...
Aku suka kedamaian,
Tenang dan tiada tekanan.

Luka,
Kesakitan yang terasa,
Pedih.

Suka atau luka,
Bezanya hanya pada satu huruf,
Maknanya sangat jauh bezanya,
Kontra sifatnya,
Keduanya Allah berikan kepada kita, 
Suka sebagai kebahagiaan,
Luka tanda ujian,
Hadapilah dengan tabah.

Suka dan luka...
Suka dan luka....
Pengiring perjalanan hidupku.





Selasa, 23 April 2013

Hujan Oh Hujan...

Alhamdulillah....Syukur hujan turun lagi...Rahmat yang Allah berikan kepada umat manusia. Sejuk terasa alam yang sebelum ini panas terik. Di kala hujan begini, ilham kadang kala mencurah-curah bak air hujan di luar sana. Syukur sekali lagi...Inilah tajuk 'Hujan' yang kedua dalam blogku selepas 'Tika Hujan'. Hujan yang memberikan ketenangan dan 'mood' segar, sesegar udara yang nyaman dan damai. Umpama damai sekeping hati.

Lebatnya hujan ketika ini. Rindu rasanya untuk bermain hujan seperti zaman kanak-kanak. Jimat juga air paip yang berbayar ketika itu kan...Maklumlah orang dahulu hidup pun susah. Kadang berbekalkan air telaga dan hujan sahaja untuk digunakan untuk keperluan asas seperti mandi, mencuci pakaian dan membasuh pinggan mangkuk. Alangkah bertuahnya orang zaman sekarang "pulas-pulas kepala paip, air dah keluar.." Tidak payah untuk menimba air dalam telaga. Syukurlah mereka. Namun itu adalah kenangan yang tidak akan dilupakan. Kesusahan dan kepayahan mengajar erti tabah menghadapi kehidupan.

Rintik-rintik hujan ketika ini menandakan hujan yang akan reda. Namun, tidak juga semestinya. Kadang akan lebat semula dan kadang kala membawa banjir pula jika berterusan. Walaupun tidak pernah mengalami keadaan banjir yang sebenar namun pernah merasa ketika air hampir naik di kawasan belakang rumah. Syukurlah keadaan tidak seteruk mana. 

"Hujan Oh Hujan...Kenapa engkau turun? Macam mana aku tak turun, katak panggil aku..Katak panggil aku..Inilah lagu yang amat digemari oleh kanak-kanak. Sekadar mengimbas kenangan lalu :) Ingatlah setiap masa yang anda lalui dan alami. 

~Cik Pen : Saya suka Hujan~

Sekeping Hati..











SEKEPING HATI,
Mudah terasa dan tersentuh,
Setiap bait kata, cerca dan lagu,
Umpama irama dan rencah yang mewarnai hati itu,
Rasa gembira, cinta, rindu, kasih dan dendam,
Ada padanya.

Sekeping hati,
Pasti terasa sedih jika ditinggalkan,
Kecewa dan menangislah ia,
Dirawatilah dirinya dengan sabar dan redha,
Tanpa dilihat,
Ada tercalar luka,
Dan sesetengahnya pula mengatakan "hancur hatiku",
Bukanlah begitu,
Terimalah hakikat,
Hati itu bukan milikmu.

Sekeping hati,
Rasa gembira jika hadir perasaan yang mengindahkan,
Terasa ingin diberitahu pada seluruh alam,
Kadang ia seakan berbunga kembang,
Senyum pasti menghiasi pemilik hati,
Bak kata orang " Dalam Hati Ada Taman".

Sekeping hati,
Menangis bila dibenci dan didendami,
Terasa sukar menghadapi dugaan,
Hanya tabah dan kesabaran mengiringi,
Jika tersilap langkah,
Hati pasti jua marah,
Namun apakan daya,
Hati hanya merasa,
Tidak mampu berkata.

Sekeping hati,
Milik semua insan,
Jagalah hati,
Bersangka baiklah,
Kelak membawa kebaikan.





Isnin, 22 April 2013

Aku Insan Kerdil...

Ya Allah, aku insan kerdil, ingin memohon kepadaMu kehidupan yang baik dan sempurna di dunia dan akhirat. Ya Allah, aku tahu, aku tidak cukup sempurna, aku insan yang banyak kesilapan sama ada kecil atau besar tanpa ku sedari. Ampunkanlah kesalahan yang pernah aku lakukan. Aku insan lemah dan aku mohon petunjukMu dalam aku menjalani kehidupanku di dunia ini. 

Ya Allah, kadang aku terlupa dan terleka dengan keindahan dunia. Kadang aku mengabaikan apa yang perlu dilakukan. Bantulah aku, kuatkan semangatku agar aku terus berjaya mengusir perasaan leka dan kejahatan syaitan. Jauhkan perasaan jahat yang sering hadir dalam diriku, jauhkan perasaan marah, iri hati dan benci sesama manusia. Jadikan aku seorang yang sabar dan rendah hati namun tidak lemah menegakkan kebenaran.

Ya Allah, kepadaMu la aku bermohon...
aku insan kerdil, jadikan aku besar dengan perasaan tabah.

Amin...

Jumaat, 19 April 2013

Mencari Realiti~

Dalam kesamaran cahaya,
Tersasarkah lagi,
Tidak nampak jalannya,
Sesat..
Terdamparlah memikirkan,
Hanya ilusi itu ku lihat,
Sedang aku mencari realiti,
Laluanku,
Untuk ku sampai ke destinasi itu.

Tiada bicara lagi,
Aku tidak mahu menoleh lagi,
Tidak ingin melihat jejak lalu,
Kerana aku tidak ingin melihat tangisan,
Tidak ingin fantasi itu,
Dusta semata,
Tipu helah dan terpedaya,
Itulah hasilnya,
Kerana aku tidak mencari realiti.

Kini,
Aku mencari realiti,
Biar apapun terjadi,
Sesuatu itu pasti ada,
Berkat usaha dan doa.



Khamis, 18 April 2013

Pengakhiran Cerita..

Sekali lagi, 
Hampa tanpa sedari,
Sudah diketahui,
Pasti ada noktahnya,
Pada pengakhiran cerita.

Tersenyum lagi,
Mengenang cerita, 
sedang ada yang dilanda gembira,
tidak kurang yang kecewa,
Ada yang suka,
tapi dia duka,
Masa terus berlalu,
Sedang masa menuju pengakhiran cerita.

Akhirnya, 
Di sini jua pengakhiran cerita,
Tanpa jemu,
Ukirlah dan catatlah,
Cerita itu, 
Yang sudah berwajah baru.



Rabu, 3 April 2013

Ulangtahun kelahiran..

Assalamualaikum...

3 hari sudah berlalu, lupa mencatatkan di blog tentang hari kelahiranku..Saja2 sebagai kenangan dan ingatan masa yang terus berlalu tanpa disedari. Apapun, doaku pada diri sendiri,

SELAMAT HARI LAHIR...Semoga panjang umur, dimurahkan rezeki, berjaya di dunia dan akhirat..Semoga impian akan tercapai...Semoga dipermudahkan semuanya. Amin.

Terima kasih ya Allah kerana memberikan aku peluang untuk terus mengharungi suka duka kehidupan ini dan memperbaiki segala kesilapan diri ini.

Share hadiah yang ku dapat tahun ni:


 Thanks kepada yang memberi. Semoga dirahmati Allah dan sama2 semakin dimurahkan rezeki...Amin

P/s : Aku Suka! 

Sabtu, 23 Mac 2013

Di Saat Usia

Di saat ini,
aku begini,
Terus mengabdikan,
Sebuah perjalanan,
Penuh cabaran dan harapan,
Bagi setiap insan.

Berdiri aku,
Mengusung sebuah impian,
Bersandarkan usia, di saat usia,
aku meneruskan langkah,
Tanpa perlu menoleh lagi,
Arah tujuku,
Sujudku,
Hanya kepadaMu.

Kini,
Aku di sini,
Bersama sahabat setiaku,
Menganyam cerita,
Tiada duka,
Hanya suka yang ingin ditemui,
Di saat usia.

 -Aku dan Pen-Tidak pernah dipisahkan-


Jumaat, 15 Mac 2013

Tangisan dan Doa

Kerana telah lama aku tinggalkan blog tanpa tulisan, kini aku kembali memerah idea...menulis sekadar suka-suka di kala panas terik yang melanda..Yuhuu..

Lewat malam itu,
Kau melemparkan kata,
Tiada ku sangka,
Niatmu sama seperti insan lain,
Tidak memahami dan menghargai.

Sedetik berlalu,
Aku diam membisu,
Membiarkan masa berlalu,
Resahmu tidak sehebat tangisan di hatiku,
Biarkan dirimu tinggal tanda tanya.

Walau telah ku maafkan dirimu,
Jauh di sudut hatiku,
Aku ingin menjauh,
seribu kemaafan kau hulurkan,
Penuh penyesalan,
Tiada pula simpati lagi,
Ku pahat di hati,
Biarlah begini.

Ku pohon pada Ilahi,
Minta ketenangan hati,
Memaafkan dan menerima,
Pada yang telah ditakdirkan,
Manusia itu ada sahaja silapnya,
Penuh kekurangan.

Di kala sepi itu,
Allah ada bersama,
Mendengar tangisan dan doa kita.

Amin.

Selasa, 26 Februari 2013

Mata Lensa

Indah ciptaan Allah,
Saat kau tersenyum dan ketawa,
Ada sinar kegembiraan,
Terpancar di wajahmu.....

MANIS!

Semanis senyumanmu yang hanya mampu ku lihat dari jauh,
Tanpa kau sedar kehadiranku,
Kau menjadi sasaran lensaku..

Terpahat kenangan,
Walau tanpa ku tahu siapa dirimu.....


 


Isnin, 25 Februari 2013

Tika Hujan...


Tika hujan..Terasa tenang suasana kerana rintik-rintikmu mula jatuh ke muka bumi. Sepi yang tadinya menyelubungi...mula kedengaran bernada dengan kelebatan limpahan deras yang meluncur laju di atas bumbung rumah. Terhempas pula di dasar bumi. Hujan, hadirmu membawa rahmat, kegembiraan, kegelisahan dan debaran. Aku suka memerhatikanmu di sebalik jendela. Sejuk. Ya mendamaikan hati....Alhamdulillah..

Tika hujan...hadirmu kadang memberikan kerinduan, mengimbas kenangan suka dan duka.. Di saat hati terasa sedih, kecewa dan tertekan kau menemani tanpa ada yang mengetahui aku menangis. Hanya Allah yang mengetahui wujudnya airmata itu selebat limpahanmu dan ciptaanNya.

Tika Hujan...
Teringat kembali zaman kanak-kanak, suka bermain hujan. Gembira bukan alang-alang,..hehe.....

Jumaat, 22 Februari 2013

~K.A.W.A.N~

Fikirkan bersama:

K.A.W.AN kerana dirimu begitu berharga bagiku, ku asuh perasaan agar tidak pernah menyakitimu walau kau sering membuat aku terasa hati...Kini aku telah menjauh kerana walau kau K.A.W.A.N yang sama-sama merasa susahnya kehidupan suatu ketika dulu, sama-sama menangis dan ketawa, sama-sama ada sikap 'jimat' namun kerana katamu itu, hati terasa pedih dan tidak lagi diperlukan. Bukan aku mengungkit tapi sedarlah aku ada hati dan perasaan. Aku mudah terasa kerana keegoanmu mula menghantuiku..Nasihat itu tanda sayang tapi adakah itu nasihat atau terus-terusan adalah sindiran buatku...

K.A.W.A.N kerana kata 'sahabat sejati sukar dicari', aku menitipkan kau sebagai salah seorang kawan sejati..Tetapi mengapa ada kata itu kau berikan padaku. Menambah lagi luka yang sedia ada di hatiku. Tanpa aku sedari, airmata jatuh berlinangan. Penghinaan walau ada gurauan, aku bukan budak kecil lagi. Aku sudah matang memikirkan kehidupan, usah kau kaburi aku dengan kata-kata itu kerana aku mengerti. Dulu, aku sering memaafkanmu atas kata-kata sebegitu namun kini aku sedar dalam persahabatan ini kau merasa lebih hebat berbanding aku.

K.A.W.A.N kerana aku manusia biasa, aku tidak lari dari melakukan kesilapan. Inilah aku, kadang tidak suka berpura menyatakan ketidaksenangan. Maaf! ya aku sentiasa memaafkan setiap insan yang melukakan hatiku. Cukup-cukuplah pandangan MEREKA tapi kau K.A.W.A.N ku telah menambah lagi pedihnya sebuah hakikat.

K.A.W.A.N andai kau sudah berjaya ingatlah jangan sombong dengan kata-katamu. Jangan merendah-rendahkan orang lain. Sentiasalah bantu mereka yang memerlukan sokongan dan perhatian. Berilah mereka kata semangat yang membina bukan menjatuhkan..Aku sedar kini, "K.A.W.A.N akan kenal siapa kita bila kita berjaya dan kita akan kenal siapa K.A.W.A.N ketika kita jatuh" Renung-renungkanlah wahai semua yang mempunyai K.A.W.A.N.



~Wallahualam...Ya Allah Maafkanlah hambaMu ini.. Ampunkan dosaku..Kuatkanlah semangatku, Tabahkan diriku, Mantapkan imanku...Penulisanku ini umpama pisau yang menghiris hatiku sendiri..~

Rabu, 20 Februari 2013

Misteri...


 Masih misteri

Belum ku temui insan itu,
Tidak ku tahu juga siapa namanya,
Siapa dirinya,
Masih mencari sebuah jawapan,
Pada persoalan,
Bantu aku Ya Allah.


Teruskan mencari kerana jodoh itu misteri dan rahsia Allah...











~Keyakinan Diri~

~Keyakinan adalah kepercayaan bahawa kita mempunyai kebolehan, bakat, kemampuan diri, keupayaan dan mampu untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan dengan menggunakan kekuatan yang kita ada. Sentiasalah optimis dengan segala yang dilakukan dan semaikan sifat positif dalam diri anda. Jangan memandang rendah dengan diri anda walaupun kejayaan yang anda capai kecil. Hargailah setiap yang anda ada dan berilah penghargaan. Jangan benarkan harga diri kita dipijak oleh bisikan hati dan jauhkan diri daripada menjadi musuh kepada diri sendiri~

~Oleh itu, berazamlah agar sentiasa bercakap secara positif kerana ayat positif akan lebih berkesan di hati anda. Yakinlah walaupun kita bukan yang terbaik tapi kita haruslah tetap berusaha menjadi YANG TERBAIK kerana kita dikurniakan dengan pelbagai keistimewaan dan mampu menikmati kejayaan dan impian~

~Nikmatilah hari anda dengan penuh keyakinan. Betapa indah perjalanan hidup andai kita sentiasa yakin dengan diri sendiri. Syukurilah kerana semuanya anugerah Ilahi~

Yakin Boleh!


Isnin, 18 Februari 2013

Aku Bukan yang T.E.R.B.A.I.K

Dari cerminan kaca itu, 
Ku selak tabir hidupku,
Menilai titian kembaraku,
Ku hitung nilai kejayaanku,
Ku tahu aku bukan yang terbaik.

Meniti kehidupan penuh kemanisan beserta duri,
Ada jua sengsara di tepian itu, 
Walau berdarah kerana lukanya dalam,
Ku harap adanya penawar di penghujung jalan,
Ku redha dengan dugaanMu Ya Allah..

Senyum itu hiasan di bibir,
Ku redah segalanya dengan tabah, 
Biarpun aku seakan lemah,
Ku tetap berpegang pada ajaranMu,
Aduan hanya kepadaMu,
Ku adaMu Ya Allah....

Usah menyerah kalah,
Biarlah beberapa titisan airmata itu berguguran,
Mata yang tidak lagi kelihatan sinarnya,
Aku bukan yang terbaik.

Di kala mereka tersenyum megah,
Aku seakan tersungkur,
Walau ku tahu itu ujianMu,
Ku hayunkan langkahku, 
Destinasiku, 
Akan ku gapai dirimu walau ku tahu,
Aku bukan yang terbaik.

Cik Pen: Walau aku bukan yang tebaik, aku ingin jadi yang terbaik...tidak akan mengaku kalah dan teruskan perjuangan :)


Ahad, 17 Februari 2013

Gundah di hati....

 



Sunyi seakan mengerti,
Tiada damai di hati,
Curahkan ia pada sebuah puisi,
yang seakan mengerti dan memahami,
Apa jua yang tersirat,
Di kala  titipan rasa menjenguk resah.

Tiada bingkisan kata,
Sepi pula mentertawakan diri,
Sedih bertakhta sendiri,
Umpama angin tidak bersuara,
Hanya desiran yang amat tidak jelas kedengaran,
Awan pun menutupi mentari,
Seakan redup,
Apakah kesudahan?

Dalam doa,
Seusai setiap sujudku,
Ku pohon ketetapan,
Gundah di hati.



Cik Pen : Mengapakah?

Jumaat, 15 Februari 2013

~Kisah di sebalik Ultraman dan Orang Bumi~

Siapa Ultraman dan Orang Bumi? Di mana aku kenal dorang ni..Hehe..ini kisah dulu2 ni..Kisah zaman remaja..Sekadar ingatan...Saja rindu pada kenangan itu...


Terima Kasih Ultraman -Orang Bumi-



Orang Bumi, aku rindu budak 013-Ultraman-

Jurang itu pemisah! Cik Pen sekadar senyum :)

Khamis, 14 Februari 2013

L.A.K.A.R.A.N R.I.N.D.U



Rindu menggamit jiwa ,
lewat petang itu,
Matahari kian terbenam,
seakan kedengaran sayup suara,
Zaman kecilku bersama rakan.

Ketawa, menangis dan senyum bersama, 
Membina impian, mengukir kenangan,
Tetap terpahat diingatan,
Bersemadi di lubuk hati,
Usah dilupakan,
Suka duka membina kehidupan.

Rumah lama itu,
Menitis airmataku,
di sanalah aku membesar,
Ku lakar ia dalam lukisanku,
Agar tidak lagi kehilangan,
Wajahnya dan kenangan bersama keluarga tersayang.


~Sentiasa dalam ingatan~

~Hari Baik Hati~

Assalamualaikum pembuka bicara, 



Tajuk yang baik untuk "Hari Baik Hati"...Eh ada pula 'hari baik hati' kan?Apa maksdunya ni...Macam ni, maksud 'hari baik hati' ialah bila kita merasa "mood" kita gembira, tenang, senang, tenang, lapang dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Walaupun ketika itu kita sibuk, penat atau tertekan. Hebat kan?mungkin selama ni tanpa kita sedari kita telah melalui hari baik hati kan..hehe...Pernahkah rasa macam ni?

Kenapa tajuk ni boleh tercipta?Sebab itu yang aku lalui hari ni..Apa saja yang aku lakukan hari ni aku lakukannya dengan sempurna. Ya P.E.R.F.E.C.T bagi diri aku. Setiap yang aku lakukan 'menjadi saja hari ni..Alhamdulillah..Mungkin dengan hati yang ikhlas ni maka terjadilah "Hari Baik Hati". Sebab Baik Hati lah aku mampu siapkan semuanya tanpa ada halangan. Puas hati dengan setiap yang dihasilkan hari ini....Syukur! Penghargaan kepada diriku sendiri..Kalau bukan diri kita yang Hargai diri sendiri, siapa lagi kan....Kita saja yang ikhlas dengan diri sendiri..Hehe..

Bak kata orang "bukan setiap hari kita akan gembira". Jadi hargailah hari-hari yang terasa indah.  Senyum saja lah menghiasi diri kan..Masa inilah kita dengan senang hati buat kerja rutin yang dirasakan bosan. Namun jika "Hari Baik Hati" maka senanglah semuanya..Yang susah jadi senang..Jadi sentiasalah berdoa agar kita dikurniakan hari yang baik...Baik hati lah juga kita akhirnya.

"Mood" yang jahat pula pasti akan menjauhkan diri dari kita bila kita meraikan "Hari Baik Hati" itu kan..Segala perasaan malas dan marah pasti akan pergi dari diri kita pada hari tersebut kan...Sebab tajuk ni juga, aku mampu menulis cerita ni..Alhamdulillah..


-B.E.R.F.I.K.I.R- Kenapa hari ni jadi 'Hari Baik Hati' bagi Cik Pen???

Aku Bukan Pilihan

 
Telah ku ketahui kini,
Aku bertemu jawapan,
Pasti..
Aku bukan pilihan.

Tidak pernah ku kesalkan,
Kerana aku tidak ingin mengimpikan,
Aku berpijak di alam nyata,
Bukan menidakkan,
Tapi sudah ketentuanNya,
Hanya usaha, 
Tapi..
Aku bukan pilihan.

Aku tidak takut,
Cuma aku ada kesedaran,
Aku bukan pilihan.


~Ringkas tapi penuh makna~

Jumaat, 8 Februari 2013

~Tanda Tanya~

Assalamualaikum...

Jam 12.00 am..Mengimbau kisah pagi tadi 07 Februari 2013...Yuhuuu...

Seraut wajah....
Tenang namun tanpa segaris senyuman..
Ku tinggalkan..

Berlalu...
Dan ku tahu itu cuma seketika..
Wahai si kereta berwarna merah..
Tanpa suaramu..
Hanya sekilas pandanganmu..

Tanpa senyumanku jua..
Tinggallah tanda tanya..
Siapa dia?
 


Hati cik Pen melakar sesuatu :) hehe

Khamis, 7 Februari 2013

Si Merah Jam Tangan yang baru :)

Assalamualaikum....

Malam ni baik hati mau tayang jam tangan baru..Lama sudah tidak guna guna jam tangan..Rasanya sejak 2007..Yuhuu lama dah 6 tahun...kan?Jadi sebagai kenangan mestilah abadikan dalam blog ni...Untuk kegunaan masa hadapan...hehe Mesti d jaga jam ni dengan sebaiknya k..Janji! InsyaAllah..kalau jodoh dengan jam ni panjang kannn?...Amin...

Kalau cerita pasal jam..teringat time exam lupa pakai jam..Yuhuuu di sanala payah mau set masa jawap exam kan...Jadi 'Masa itu emas' Jam itu penting supaya sentiasa menjadi orang yang sentiasa berdisplin dan tepati masa :)..Fikir2kan! 

Oklah, ni lah jam yang sudah menjadi list item 'yang di sayang' sekarang :)






~Si Merah bersama Cik Pen..Hehe Kolaborasi bah ni :)

Khamis, 31 Januari 2013

~Persoalan Diri~


Sendirian tidak bermakna sepi,
bukan juga bermakna tidak berteman,
Tidak bererti tidak disukai,
Hanya ingin mencari, memikir dan perlukan masa,
Diam....
Namun tidak semestinya tidak bersuara,
Hanya menanti masa,
Bersedia dengan semuanya..
Ilmu itu kemestian,
Bijak itu keperluan,
agar tidak tersungkur,
di kemudian hari...

Biarlah lambat asal ada usaha,
ada doa di tiap titian hari,
ada pengharapan di atas kecekalan dan ketabahan,
walau ada yang memandang sepi,
Redha..
Hanya Allah yang maha mengetahui...

Ketahuilah,
aku mengerti...

Cik Pen yang banyak berfikir!



Khamis, 24 Januari 2013

Salam Maulidurrasul..



Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W..Bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, hari keputeraan Rasulullah jatuh pada 12 Rabiul Awal 1434 bersamaan 24 Januari 2013. Hari kelepasan atau cuti umum di Malaysia.

Selamat menyambut Maulidurrasul. Jadikanlah Rasulullah sebagai panduan dalam menjalani  kehidupan anda.

~Sentiasalah terapkan nilai wasatiyyah dalam kehidupan seharian anda~Cik Pen.

Rabu, 23 Januari 2013

Bukan Si Cantik




Wanita...andai kau bukan Si Cantik di hadapan manusia, ingatlah Allah akan memandangmu sebagai cantik jika kau menjaga akhlak dan peribadimu sebaiknya..Walau kau sering kedengaran berkata begini "Aku sedar siapa aku, kadang aku rasa tidak diperlukan pun..kalau mereka memandang paras rupaku yang tidak cantik ni, aku sering dijauhkan dan tidak mendapat perhatian..tapi bagi mereka yang memahami dan menilai siapa aku, pasti ada rasa hormat dan hargai kewujudan aku...aku bukan minta penghormatan atau penghargaan tapi biarlah memandang aku sebagai manusia yang punya hati dan perasaan..Kadang aku sedih, aku bukan minta dipandang cantik tapi aku minta diberi peluang..Aku juga insan yang punya impian dan cita-cita walaupun aku tiada rupa...Potensi yang ada pada diri perlu diiringi dengan sokongan..Ya sokongan dari insan sekeliling..Jangan pilih kasih kerana Allah tidak pandang pun rupa kita, yang penting HATI..Semua ciptaanNya cantik..Syukur ya Allah..hanya diriMu yang memahami..." 


Oleh itu, wanita sedunia yang merasa diri "bukan Si Cantik" sentiasalah minta kekuatan kerana kamu wanita adalah srikandi! Jika bukan untuk orang lain, jadilah srikandi kepada diri sendiri..Perjuangan mesti diteruskan..Kamu pasti boleh berjaya sama seperti orang lain..Usah bersedih wahai wanita "bukan si Cantik"  kerana bagi sesetengah orang cantik itu bersifat subjektif.."Cantik bila kau tersenyum", "Cantik bila kau berkeyakinan" dan "Cantik kerana sifat kesopanan"....Tempuhilah hidup ini dengan penuh keceriaan, ketabahan dan kesabaran..Semoga kau berjaya di dunia dan akhirat...Amin.


~Tetap bersyukur dengan kurniaanNya~Cik Pen.
 

Selasa, 22 Januari 2013

Idea Kosong

Malam ni tiada idea...jadi saja-saja ja la mau cerita sedangkan Cik Pen sangatlah tiada idea sekarang ni...emmm fikir dan terus berfikir, maklumlah aku kan suka berfikir...hehe..bak kata orang "Berfikir sebelum bertindak" atau "berfikir lebih baik daripada fikiran kosong" atau "tiada fikiran".. atau erti kata lain "kosong"...minda pun tidak bergerak...statik!..ish jauh pula aku bagi mukadimah..jadi sebaik-baiknya berfikirlah secara kreatif...!!

Hari ni santai ja la..tiada tajuk kan...aku tengah fikir di manalah buku "Pelbagai Macam Cerita" yang pernah aku tulis dulu..masa tu aku saja-saja tulis..semuanya hasil karya tangan..tulis guna pen..best apa..tidak sangka pula boleh tulis macam-macam cerita...macam buku skrap pun ada..best la buku tu tapi entah dah pegi mana la...sayangnya bila hasil karya sendiri telah hilang tanpa jejak...Cover buku tu warna biru, tebal xingatlah mungkin dalam 200 muka surat...mungkin aku dah bakar..huhu sedihnya kan..manalah dia?aku lupa lah...kalau buku tu masih ada kan bagus, aku boleh simpan buat kenangan dan boleh masukkan dalam blog ni...

Memandangkan idea tengah tiada sekarang, mata pun mengantuk...baguslah aku undur diri..Wassalam...

Sekian~

~bila idea Cik Pen kosong...inilah hasilnya! Peace!~


Ahad, 20 Januari 2013

Halaman itu....




Aku memandang halaman itu,
jiwa rasa tenteram dan aman seketika,
terimbau kisah kecilku,
suka duka perjalanan ku dan titian kehidupanku,
menjadi pentas permainanku suatu ketika dulu bersama mereka,
hingga terukir memori indah.

Di halaman itu,
aku pernah terjatuh, berlari dan mencipta sebuah impian,
kini..halaman itu,
menjadi milik generasi kecil dan tetap menjadi milik bersama,
kerana masih ada sisa kenangan yang tidak mungkin dilupa,
gelak tawa, nangis, dan suka ria itu..aku rindu!

Buatmu halaman itu,
terima kasih kerana memahami kami!

Secebis kenangan buat kita rindu~Peace!

Khamis, 17 Januari 2013

~Lukisan Alam~SubhanaAllah!













































~Kuasa Allah...suria..pelangi...awan....bulan..langit dan semua ciptaanNya....hargai dan bersyukurlah kita dapat melihat lukisanNya yang terindah~


~Kesyukuran yang tidak terhingga..Alhamdulillah...Cik Pen~

Andai aku tinggalkan CINTA



CINTA...aku ingin pergi jauh meninggalkanmu,
menyepikan diri untuk membina sebuah keyakinan,
izinkan aku berpisah denganmu,
walau titis airmata mengiringi pemergianku,
aku nekad menjauhimu..

CINTA....andai aku tiada...doakan aku,
kerana aku tidak pernah melupakanmu,
tetapi...aku ingin pergi, bersendirilah dirimu,
andai ada kasih yang datang kepadamu, terimalah ia,
sebagai peneman kesedihanmu,
juga sebagai kebahagiaan masa depanmu.

CINTA...andainya aku tinggalkanmu,
aku juga pasti terluka..luka yang kusimpan,
tapi aku tahu..CINTA pasti bertemu CINTA SEJATI..
usah bersedih..kerana Allah sentiasa ada untuk mendengar doamu..

Amin~

Selasa, 15 Januari 2013

Sesuci Sinar Cinta

Bukan aku membencimu,
tapi aku ingin kau tahu,
hatiku bukan milikmu,
di kala ini,
aku telah memiliki,
sekeping hati untukku jaga,
setulus hatinya...begitulah aku, 
aku ingin kau mengerti,
menjauhlah engkau sahabatku,
kau pasti tahu,
"sesuci cinta" bukan pandang pada rupa dan harta,
tapi kerana dia insan yang ikhlas,
yang sudi menemanku di kala kekecewaanku,
dia pendorong kejayaanku,
dia semangatku dan dia adalah sinar dalam hidupku!
Maafkan aku...ku tolak jauh cintamu itu.





Jika kau tidak merasa cinta, kembalikan rasa cinta itu dengan rasa hormat...Peace!

Isnin, 14 Januari 2013

Mawar Putih

Seputih salju,
kau cantik berseri,
berkembang mekar di laman, 
indah dipandang,
suci warnamu jadi tarikan dan rebutan.

Mawar putih, bukan mudah kau dihampiri,
bukan kerana duri itu,
tetapi kerana harga dirimu,
tidak mudah didapati,
kau juga tidak mudah tumbuh sembarangan,
kadang kau menjadi idaman,
tapi kau berada di tapak larangan,
sukar dipetik,
kerana kau menjadi kesayangan,
pada pemilikmu

Mawar putih,
damailah engkau di sana,
walau kau layu,
harummu tetap ada dan buat mereka tertawan...




Ahad, 13 Januari 2013

Milik Hati


Bermusim telah berlalu,
terdetik rasa tidak percaya...
mengenang semula saat pertemuan itu,
kau tersenyum memandangku,
sedang aku mengingati nama pemilik wajahmu itu...

Desiran angin,
membawa aku ke alam realiti..
Kau..ya kau! yang pernah ku temui suatu ketika dulu,
ikhlas...
aku membalas senyumanmu,
kerana kini milik hati..
telah tertulis namamu..

Imbasan itu~Peace!

Sabtu, 12 Januari 2013

Duhai hariku....

Duhai hariku, 
Kenapa suram di wajahmu,
adakah duka menemani?
atau kecewa melanda...

Katakanlah hariku, 
Bilakah waktu akan tiba,
menjelmakan mimpi indahmu,
bisikan hati berkata ' Sabarlah! akan sampai waktunya'
namun tabahkah hati itu,
tika mata tidak berhenti menangis,
Sedang fikiran jauh mengenang,
entah bila,
datanglah padaku wahai impianku....
doa itu kabulkan ya Allah...
Amin..


Wassalam...

Bingkisan rasa Cik Pen di kala senja~Peace...

Jumaat, 11 Januari 2013

Kau buatku tersenyum...



Aku di sini meniti hari,
ku sampaikan padamu sebuah cerita,
dan kau rasa simpati,
ada kecewa,
serta terpancar keseriusanmu,
pada perkhabaran itu...

Namun, bila ku ubah bicara jenaka,
kau ketawa, senyum dan gembira,
kerana bagimu aku penyeri harimu,
celotehku didengar dan sesekali kau mencelah,
spontan kau berkata "Kau buatku tersenyum"..

Masa berlalu,
Hariku tanpamu..sepilah diriku,
tanpa bicara..tiada kata..ku menanti,
penuh pengharapan dan hari itu kau muncul..
bersama senyuman...

Cerialah hariku kembali,
Menitis airmata syukur..
Namun, perkhabaran kau bawa itu...
buatku pasrah bila kau katakan pagi itu...
"Aku akan pergi jauh, maafkan aku.." 




 Dari laman Cik Pen:

~ Kau buat ku tersenyum tapi sayangnya kau bukan milikku..ku izin kau pergi jauh..tinggalkan aku di sini~Peace!

Khamis, 10 Januari 2013

Tentang Pen...

Inilah koleksi pen yang aku ada..sebab tulah aku suka gunakan nama Cik Pen. Koleksi ni sudah lama bermula dari zaman sekolah rendah dulu..mungkin mula darjah 5..lama sudah kan..tapi kadang-kadang ada juga pen yang lupa disimpan dan dibuang macam tu ja..apa kelebihan pen? sebenarnya pen la teman kepada seseorang tidak kira walau apapun pekerjaannya. Pen amat penting bagi seorang yang suka menulis dan melukis..ya ada org melukis dengan menggunakan pen. Kalau anda adalah sebatang pen..apa kelebihan yang akan anda senaraikan sebagai kelebihan berbanding benda yang lain?pada aku, sebagai sebatang pen, tugasku memberikan khidmat sehingga habis dakwatku..itupun kalau sempat habis dakwat la kan...sebab sesetengah pen, tidak pun habis dakwat, sudah pencen :)..jadi kenalah pandai memilih pen k...
Pen juga memerlukan kertas atau buku untuk menyampaikan arahan daripada pemiliknya..Tanpa ada buku, kertas, atau diari, pen tidak akan dapat memberikan khidmat yang sempurna..Tidaklah kan sentiasa menulis di tangan. Kalau karangan atau surat yang panjang macam mana..jadi fikir-fikirkan...
Pen Oh Pen...aku memang tidak akan pernah lupakan jasamu walaupun kini orang sudah boleh taip dan print saja..Pen tetap akan digunakan dan kalau ada masa, pasti akan membeli pen yang cantik-cantik macam masa sekolah dulu :)

Penghargaan juga kepada sesiapa yang pernah bagi pen yang sudah pun jadi koleksi peribadi aku ni...terima kasih banyak-banyak..Peace! sekian~

Rabu, 9 Januari 2013

Antara PERASAAN dan PERASAN

Pernahkah anda perasan yang seseorang itu meminati anda? Contohnya anda rapat dengan seorang kawan. Anda merasa dia ada perasaan terhadap anda tapi tidak pernah diluahkan. Anda pula sering tertanya-tanya dan menanti jawapan serta terus berharap.

Tapi hari yang anda nantikan untuk dia berterus terang tidak pernah berlaku. Anda menilai 'rasa' itu dari segi cara berbualnya, cara lawaknya dan tingkahlakunya. Adakah anda akan terus menanti dan memberanikan diri bertanya? atau jika anda seorang wanita, anda akan terus berdiam? adakah benar 'rasa' yang hadir atau anda layak digelar PERASAN?

Secara lahiriahnya, anda dan dia adalah kawan. Namun setelah sekian lama, rasa itu berubah. Sama ada kedua-duanya merasa atau hanya salah seorang. Kalau kedua-duanya, syukurlah. mungkin hanya perlu menunggu masa yang sesuai. namun jika hanya salah seorang, pasti ada hati yang akan kecewa pada pengakhiran cerita.

Mungkin keserasian yang wujud antara anda berdua telah melahirkan 'rasa' yang tidak diundang. Walaupun di mulut status 'kawan atau sahabat' namun di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Apakah punca yang menyebabkan berlakunya keadaan tersebut?mungkin...
  • Sifat peramahnya : dia seorang yang mudah diajak berbual tentang berbagai. Anda merasa senang menjadi salah seorang kawannya sebelum wujud 'rasa' itu.
  • Lawak jenakanya : dia membuatkan anda sentiasa tersenyum dan tidak kering gusi dengan lawaknya. Lawaknya itu membuatkan anda tidak bosan untuk bercerita dengannya.
  • Sifat prihatin : dia akan sentiasa bertanya khabar, perkembangan dan cadangan perkembangan masalah.
  • Peka : dia peka terhadap diri anda seperti apa yang berlaku pada anda. umpama dia sentiasa mengikuti perkembangan diri anda.
  • Tidak memilih kawan atau sombong : dia akan berkawan dengan semua orang tidak kira status dan akan menghargai setiap kawan yang dia ada. Dia juga tidak pernah membezakan antara seorang kawan dengan kawan yang lain.
Itu hanyalah sebahagian sebab kenapa anda mula PERASAN sedangkan kawan anda itu memang begitu perangainya. Namun, tidak ada salahnya jika anda mempunyai perasaan terhadap kawan anda kerana perasaan itu wujud tanpa anda minta. Walaupun suatu hari nanti status 'kawan' itu akan tetap sama dan tidak bertukar ke arah 'lebih istimewa' tapi anda pasti akan doakan yang terbaik untuk dia kan? Terimalah hakikat bahawa jodoh anda dan dia hanya setakat kawan.

Pernahkah anda terfikir untuk meluahkan perasaan itu atau menyimpannya sahaja sampai bila-bila?Kadang-kala pasti anda akan tersenyum bila ada bicara yang mengundang rasa lucu. Jadi sahlah anda 'jatuh hati' pada kawan anda itu. Anda akan sering berfikir dan terus berfikir tentang perasaan dia terhadap anda. Apa yang perlu anda lakukan ialah memberi respon positif terhadap apa yang kalian bicarakan.

Berharap sahaja pasti tidak akan mengubah apa-apa kan? Jadi, apa salahnya jika anda meluahkan perasaan?Mungkin sebagai seorang wanita, anda malu tapi jika anda seorang lelaki, tidak salah memberanikan diri mencuba. Status 'kawan' pasti akan menghalang anda untuk meluahkan perasaan. Jangan takut untuk menerima hakikat jika ditakdirkan dia tidak mempunyai perasaan yang sama dengan anda. Normallah perasaan itu wujud jika ada keserasian dan persefahaman dalam persahabatan anda.

Apa yang penting, persahabatan antara anda berdua akan terus berkekalan dan tidak perlu ada persengketaan. Hargailah kawan anda itu seperti mana dia menghargai anda. Jangan malukan dirinya andai anda menolak cinta itu kerana dia tersalah anggap. Nilai persahabatan penting dalam mewujudkan hubungan sesama insan. Carilah seorang kawan yang mampu untuk melindungi anda dan bukan memfitnah atau menikam anda dari belakang. Berhati-hatilah dalam memilih kawan dan InsyaAllah persahabatan yang baik pasti sentiasa diredhai Allah. Wallahu'alam.

BILA ANDA BERCINTA~~~

BERCINTA...pasti semua orang ingin bercinta dengan seseorang yang dicintai dan disayangi. seharusnya apabila bercinta anda perlulah:
  • Setia..tiada lagi keraguan bahawa dialah satu-satunya cinta anda.
  • Jujur...berkata benarlah dengannya..terangkan jika dia berasa curiga.
  • Amanah...Jika dia meminta anda merahsiakan sesuatu perkara, jagalah sebaiknya terutama jika melibatkan maruah.
  • Prihatin..Ambil tahu tentang dirinya walaupun kadangkala anda sibuk..jangan lupa bertanya khabarnya.
  • Ambil berat..ambil beratlah tentang dirinya, tahu apa yang berlaku kepadanya terutama jika dia sangat memerlukan seorang pendengar yang setia.
  • Elak ambil kesempatan...Jangan ambil kesempatan dengannya. Jaga tingkahlaku anda dan jangan jadi pisau cukur. 
  • Menjaga hubungan dengan sebaiknya..Jika anda sedang bercinta, jagalah dia seperti anda menjaga diri anda sendiri..
  • Saling menghormati...Sikap ini perlu disematkan dalam diri pasangan masing-masing. Jangan campurkan hal peribadi dan kerja dalam perhubungan. Jika dia mengatakan sibuk dengan kerja, hormati keputusannya.
  • Menghargai..anda sudah berjaya bercinta dengannya. Jadi hargailah dia kerana dirinya terasa amat berharga dengan adanya anda.
  • Bersifat memerlukan..anda dan si dia akan saling memerlukan. oleh itu, saling melengkapilah antara satu sama lain.
Tidak semua pasangan kita SEMPURNA dengan sikap-sikap ini. Kita perlu saling bersyukur kerana kasih sayang yang tercipta itu adalah anugerah daripada Allah. Kita perlu tahu hala tuju perhubungan kita dan berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan...InsyaAllah pasti berjaya...Amin~